Anda di sini: Nasional > Azizan kekal terajui Kedah

Azizan kekal terajui Kedah

Share

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Datuk Mustafa Ali berkata, keputusan telah dibuat oleh Jawatankuasa PAS Pusat berhubung kemelut yang berlaku di Kedah berhubung dengan pelantikan dua exco yang masih tertangguh pada perbincangan di Alor Setar sebelum ini.


“Kita telah memutuskan bahawa Datuk Seri Diraja Azizan Razak akan meneruskan tugasnya seperti biasa sebagai Menteri Besar dan kedua-dua exco perlu kembali dalam Exco Pentadbiran Negeri Kedah,” jelasnya ketika bercakap pada satu sidang media di Ibu Pejabat PAS hari ini.

mustafaMustafa berkata, PAS Pusat akan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu untuk bersama bertanggungjawab memantau serta memberi pandangan kepada pentadbiran negeri di bawah PAS, malah termasuk juga negeri-negeri yang mana PAS juga turut terlibat dalam pentadbirannya.

“Mesyuarat yang diadakan sebenarnya tidak lama tetapi untuk mendengar pandangan exco-exco itu memerlukan masa yang lama,” jelas beliau ketika ditanya mengenai perbincangan yang diambil begitu lama bagi menyelesaikan kemelut tersebut.

Menurutnya, PAS yakin bahawa krisis itu selesai dan kedua-dua exco menerima keputusan yang telah dicapai.

“Kita telah memaklumkan keputusan tersebut secara lisan dan saya optimis kedua-dua mereka menerima keputusan tersebut dan buat masa sekarang tidak ada sebarang andaian negatif dilakukan terhadap keengganan mereka menerima keputusan tersebut, ulasnya.

Selain itu, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut mempersetujui segala keputusan yang telah diambil itu.

“Kita turut yakin dan optimis bahawa keputusan ini akan mengukuhkan kedudukan kita (PAS) di Kedah serta mengekal kemenangan pada pilihan raya yang akan datang.”

Sebelumnya, perbincangan mencari formula penyelesaian isu Kedah berlangsung di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon yang menyaksikan perbincangan hampir 5 jam bermula 9.30 malam sehingga jam 3 pagi.

Pertemuan tersebut adalah antara Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan Badan Perhubungan PAS Kedah dengan dipengerusikan sendiri Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ia berhubung isu Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh yang enggan dilantik semula sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah dan dilihat tidak selari dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ust Azizan Abdul Razak.

Phahrolrazi dan Dr Ismail masing-masing merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri I dan II manakala Azizan adalah Pesuruhjaya PAS Negeri.

Add comment


Security code
Refresh

Jumpa kami di Facebook