KUALA LUMPUR - Akhbar harian The Star yang dikritik kerana menyiarkan gambar tidak senonoh penyanyi Amerika, Erykah Badu semalam memohon maaf atas penyiaran tersebut.
Dalam satu kenyataan ringkas, akhbar itu menulis, "Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada pembaca beragama Islam kerana 'terlepas pandang' akan perkara tersebut."
Star 2 di halaman 17 semalam menyiarkan sebuah artikel berkenaan penyanyi itu bersempena dengan konsertnya yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur esok. Bagaimanapun artikel tersebut menimbulkan kontroversi apabila turut menyiarkan gambar Erykah yang jelas mempamerkan ukiran tatu termasuk dua kalimah 'Allah' dalam bahasa Arab di bahagian atas dadanya.
Penyiaran gambar ini mengundang kritikan orang ramai termasuk Malaysia Harmoni yang berpendapat ia adalah penghinaan secara terang-terangan terhadap Islam.
Permohonan maaf oleh The Star disiarkan dalam laman webnya semalam.
