Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR) dalam kenyataan media bertarikh 25 Februari menyeru semua pemimpin politik tanpa mengira kerajaan atau pembangkang supaya menghentikan polemik yang berasaskan emosi politik dan mempermain-mainkan minda rakyat umum dengan memutar belit fakta.
GEGAR menolak kenyataan Datuk Dr Awang Adek yang dianggap tidak rasional ketika mengadili isu tuntutan royalti petroleum oleh rakyat dari negeri yang berhak mendapat royalti.
Dalam perkembangan terbaru, Pengerusi Bersama GEGAR, Dr Abdul Halim Yusuf dan Mohamad Fauzi Abu Samah menggesa pemimpin politik mendahulukan kepentingan rakyat dan negara dalam isu melibatkan wang berbilion ringgit ini.
GEGAR menganggap tiga pandangan berikut daripada Datuk Dr Awang Adek semasa ditemubual di TV1 pada 22 Februari sebagai tidak beasas. GEGAR juga menolak mesej iklan tajaan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia di akhbar-akhbar mengenai isu yang sama pada 21 Februari 2010:
Pertama, bahawa pemberian royalti kepada Kerajaan Negeri Terengganu selama ini (sejak dari 1978 hingga Mac 2000) adalah sesuatu yang tidak menurut undang-undang kerana Terengganu tidak layak mendapat royalti.
Menurut GEGAR, premis pemikiran sebegini tidak timbul sama sekali sebelum ini malahan, asas undang-undang dan hak royalti 5% digunakan untuk pembayaran royalti kepada Terengganu.
Kedua, pemberian royalti kepada Sabah dan Sarawak adalah kerana sejarah dan hak istimewa semasa menyertai Malaysia pada tahun 1963 dan bukan kerana kelayakan mendapat royalti.
GEGAR mempersoalkan apakah wujud perjanjian dan peruntukan undang-undang mengenai pemberian keistimewaan yang begitu besar dan tanpa had masa sedang negeri lain mesti mengambil kira asas undang-undang? Bagaimana pula dengan perjanjian yang ditandatangani oleh Ketua Menteri Sarawak iaitu Tun Datuk Patinggi Hj. Abdul Rahman Ya’kub yang berasaskan Akta Kemajuan Petroleum 1974?
Ketiga, kerajaan Kelantan tidak berhak kepada bayaran tunai atau royalti tetapi sekadar wang ihsan.
Menurut GEGAR, hakikat sebenar ialah tiada peruntukan undang-undang yang membolehkan pemberian wang ihsan kepada negeri.
“Kenyataan di atas amat tidak wajar dan berpotensi menimbulkan kekeliruan yang besar, konflik perhubungan Negeri-Persekutuan dan meletakkan negeri pada budi bicara Kerajaan Persekutuan sepanjang masa walhal ia melibatkan wang berbilion ringgit dan kepentingan rakyat jelata,” demikian tegas Pengerusi Bersama GEGAR.
Pada tahun lalu PETRONAS telah membayar RM6.2 bilion dalam bentuk bayaran tunai dengan RM3 bilion kepada Terengganu, RM2.3 bilion kepada Sarawak dan RM0.9 bilion kepada Sabah. Menurut GEGAR, bolehkah bayaran semahal ini terletak pada budi bicara sahaja. Dan, bolehkah ia dibuat atas dasar simpati kerana petroleum hanya ditemui di kawasan luar pesisir tiga batu nautika.
GEGAR menggesa Kerajaan Persekutuan berpegang kepada peruntukan undang-undang dan perjanjian yang bertunjangkan undang-undang dalam membayar royalti petroleum. GEGAR menegaskan empat prinsip utama yang perlu diterima oleh Kerajaan Persekutuan dalam isu ini:
1. Akta Kemajuan Petroleum 1974, dan 13 perjanjian dengan negeri-negeri mahupun 13 Geran Penyerahan Hak tidak menyatakan sama sekali sebarang sekatan hak setiap negeri untuk menerima bayaran tunai bagi pengeluaran petroleum di luar pantainya berdasar kepada jarak dari pantai.
2. Seksyen 13 (1) Akta Darurat Kuasa-kuasa Perlu 79 telah pun memansuhkan penggunaaan pemakaian ordinan darurat kuasa-kuasa perlu 1969 dan oleh itu ordinan tersebut adalah tidak relevan.
3. Memetik handsard Parlimen Malaysia bertarikh 12 November 1975, Tun Razak, Perdana Menteri ketika itu telah menyatakan bahawa negeri akan menerima lima peratus daripada nilai petroleum yang ditemui atau dikeluarkan daripada negeri-negeri sama ada di dalam atau di luar perairan negeri.
4. Dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Akta Interpretasi, Akta Prosedur Kewangan dan juga Akta Kemajuan Petroleum, istilah negeri adalah merujuk pada kerajaan negeri dan bukan agensi yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan yang beroperasi di negeri. Oleh itu, pembayaran kepada negeri bermaksud kepada kerajaan negeri.
GEGAR menyeru pemimpin politik supaya berjiwa besar, bersikap amanah dan jujur untuk menerima fakta dan kebenaran demi kepentingan rakyat Malaysia tanpa mengira kumpulan politik, wilayah, negeri kaum dan agama.
“Kebenaran tetap akan terserlah dan kebatilan akan tetap lenyap dan hancur. Pemimpin hendaklah menjadi contoh dalam berpegang kepada kebenaran, menunai janji dan amanah kerana ia adalah tuntutan agama dan syarat kepada iman kepada Allah,” tegas kedua-dua pengerusi bersama GEGAR.
GEGAR sekali lagi mendesak kerajaan Persekutuan menunaikan amanah perjanjian yang telah dipersetujui berasaskan Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang menghendaki pembayaran wang tunai (atau istilah popular royalti) kepada kerajaan negeri untuk kepentingan rakyat jelata.
“Tidak ada langsung justifikasi dari aspek undang-undang untuk menidakkan pembayaran wang tunai 5% kepada negeri,” tegas Dr Abdul Halim dan Mohamad Fauzi lagi.
| < Prev | Next > |
|---|


